BERITA TERKINI   Sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia untuk tempoh lima tahun bagi tarik produksi antarabangsa, tingkat peluang pekerjaan penggiat tempatan - Fahmi | FINAS diminta teliti aspek perundangan dan hak cipta bagi lindungi hak seniman, penggiat filem dalam era AI - Fahmi | Kerajaan akan tawarkan proses mediasi percuma bagi kes pertikaian perundangan babit semua jenis kontrak di bawah RM250,000 - Azalina | 

Planworth Guna Platform 2TM Perkukuh Jenama, Daya Saing

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Planworth Global Factoring Sdn Bhd, penyedia pembiayaan invois dan rantaian bekalan, bersedia memperkasakan jenama dan daya saing melalui penyertaan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang membuka tirai hari ini.

Pengurus Perhubungan Perniagaan, Perdagangan dan Rantaian Bekalan Kewangan Wilson Wong berkata walaupun syarikat telah beroperasi selama 10 tahun dan telah menyokong 10,000 syarikat, masih ramai yang tidak mengetahui jenama tersebut.

“Kami menyokong pelbagai pembiayaan dengan nilai serendah RM10,000 sehingga RM200 juta, daripada kontraktor G1 sehingga G6 merangkumi syarikat yang memerlukan modal untuk memulakan perniagaan selain memenuhi keperluan projek dan mengupah pekerja,” katanya kepada Bernama pada acara padanan perniagaan di sini.

Menurutnya, syarikat mengetengahkan kriteria fleksibel dan penyesuaian bagi membolehkan syarikat mempunyai aliran wang tunai yang stabil.

“Ada syarikat yang rekod prestasinya tidak begitu baik selepas pandemik dan sukar mendapat pembiayaan.

“Oleh itu, kami mengambil kira nilai dan kementerian yang telah menganugerahkan kontrak bagi membolehkan kelulusan pinjaman mereka,” katanya. 

Planworth Global Factoring menyediakan fasiliti untuk industri perbekalan, teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan dan penyelenggaraan.

Penyedia lain yang turut menyertai program itu termasuklah TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, Maybank, Hong Leong Bank, Agrobank, Rolling Pay dan Zikay Factoring Sdn Bhd.

-- BERNAMA