BERITA TERKINI   Perolehan MISC Bhd susut kepada RM11.15 bilion pada tahun kewangan 2025 daripada RM13.24 bilion tahun sebelumnya susulan pendapatan rendah segmen marin, kejuruteraan berat  | Untung bersih MISC Bhd meningkat kepada RM1.7 bulan pada tahun kewangan 2025 daripada RM1.19 bilion tahun sebelumnya | Petronas Dagangan isytihar dividen interim 26 sen dan dividen khas 20 sen bagi suku keempat 2025 | Untung bersih Petronas Dagangan Bhd meningkat kepada RM1.10 bilion pada tahun kewangan 2025 daripada RM1.09 bilion tahun sebelumnya | Untung bersih LPI Capital Bhd susut kepada RM367.78 juta pada tahun kewangan 2025 daripada RM377.09 juta tahun sebelumnya | 

Ringgit Ditutup Rendah Selepas Kenaikan Selama Tiga Hari

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan selama tiga hari berturut-turut, sebelum ini.

Pada 6 petang, ringgit susut nilai kepada 4.4660/4710 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras 4.4610/4650, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit secara amnya susut hari ini berbanding pengukuhan ketara dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) melepasi 107 mata.

“Kebimbangan mengenai geopolitik, dasar-dasar pentadbiran Donald Trump 2.0 dan unjuran pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, terbukti lebih cenderung untuk mengekalkan kenaikan mata wang negara maju itu,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya diniagakan mengukuh berbanding kelompok mata wang utama.

Ia naik berbanding pound Britain kepada 5.5870/5932 daripada 5.6342/6393 semalam dan mengukuh berbanding euro pada  4.6455/6507 daripada 4.6907/6949.

Ringgit bagaimanapun turun berbanding yen Jepun kepada 2.8906/8942 daripada 2.8892/8920, semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Walaupun meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3101/3141 daripada 3.3189/3222, ringgit  rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9068/9276 daripada 12.8748/8923 semalam.

Ringgit juga menyusut berbanding peso Filipina pada 7.58/7.59 daripada 7.56/7.57 dan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 281.2/281.7 daripada 279.9/280.4. 

-- BERNAMA