BERITA TERKINI   Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | 

Malaysia, Korea Selatan Galak Pelaburan ESG Dan Kerjasama Teknologi

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan mengekalkan komitmen mereka untuk menggalakkan iklim pelaburan yang selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pengumuman itu dibuat pada pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol di Seoul pada Isnin.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memacu inisiatif penyelidikan dan pembangunan serta menggalakkan pertukaran teknologi antara perniagaan di negara masing-masing.

“Bidang tumpuan termasuk teknologi Revolusi Perindustrian Keempat, ekonomi digital, ekosistem halal dan agenda hijau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala, yang disambung semula pada Mac 2024, untuk memuktamadkannya pada 2025,” katanya.

Kedua-dua pemimpin memberi jaminan untuk mendapatkan hasil yang saling memberi manfaat kepada perniagaan di kedua-dua negara, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Melalui FTA, mereka komited untuk meningkatkan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan serta sektor baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan bioekonomi.

Selain itu, kedua-dua pihak menyedari kepentingan untuk meningkatkan kerjasama dalam keselamatan ekonomi, termasuk kerjasama dalam bidang dan isu seperti daya tahan rantaian bekalan.

Menyedari bahawa kerjasama antara PKS dan syarikat pemula niaga dapat mengukuhkan inovasi dan daya saing negara, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memberikan bantuan bagi meningkatkan kerjasama dan pertukaran antara PKS dan syarikat pemula niaga.

Selepas meraikan ulang tahun ke-40 pada 2023, kedua-dua pihak mengiktiraf bahawa Dasar Pandang ke Timur (DPT) telah menyumbang kepada meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara sejak ia diperkenalkan pada 1983.

Mengenai mengguna pakai Dokumen Panduan Gelombang Kedua Dasar Pandang ke Timur (DPT 2.0) pada 2014, kedua-dua pihak mengekalkan komitmen mereka untuk bekerjasama memaksimumkan potensi DPT 2.0 dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan.

“Kedua-dua pihak juga mengiktiraf peranan penting Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi (ECC) dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi di bawah DPT 2.0 dan mengekalkan komitmen mereka untuk mengadakan mesyuarat ECC secara berkala,” katanya.

Dari segi kerjasama digital dan ICT, Malaysia dan Korea Selatan mengakui kepentingan kerajaan digital dalam meningkatkan daya saing dan memacu pertumbuhan ekonomi, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama lebih erat mengenai kerajaan digital melalui perkongsian pengetahuan, aktiviti pembinaan kapasiti secara bersama dan rundingan.

Menurut kenyataan itu, pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia pada Februari 2021, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengkaji kaedah bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti dasar ICT, 5G, AI dan Data Raya berdasarkan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada November 2019.

“Kedua-dua pihak menekankan nilai ICT dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang saksama, inklusif dan mampan serta menyatakan kegembiraan terhadap kejayaan selesainya projek kerjasama IT mengenai ladang pintar berasaskan AI,” katanya.

-- BERNAMA