BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Kerjaya Prospek Property Akan Terus Tingkatkan Simpanan Tanah

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kerjaya Prospek Property Bhd akan meneruskan usaha pembelian tanah strategik dan meningkatkan simpanan tanahnya, dipacu kedudukan kewangan kumpulan yang kukuh dan berdaya tahan ketika ini di samping memastikan kemajuan yang lancar bagi projek pembangunan akan datang.

Pengerusi Eksekutifnya Datin Seri Toh Siew Chuon berkata kumpulan itu positif terhadap dua pelancaran di Shah Alam dan Damansara Damai tahun depan, dengan gabungan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM700 juta manakala Vox Resident yang dilancarkan pada September lepas mencapai kadar pembelian kira-kira 7.0 peratus.

“Melalui pengurusan kos berhemat dan membuat keputusan yang strategik, kami kekal komited untuk memantau permintaan pasaran dan mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan.

"Pembukaan Bloomsvale Shopping Gallery, Office Suites dan Hotel Courtyard by Marriott KL South bertaraf empat bintang baru-baru ini dijangka menyumbang kepada pendapatan berulang kumpulan dan memperteguh prestasi kewangan keseluruhan," katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan suku kedua kumpulan itu berakhir 30 Sept 2024 di sini hari ini.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan luar jangka, beliau berkata kumpulan itu kekal optimis namun berhati-hati untuk merekodkan prestasi positif walaupun menjangka hasil yang lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.

Sehingga kini, simpanan tanah kasar kumpulan berjumlah 24.69 hektar dengan potensi GDV RM3.8 bilion.

Kerjaya Prospek Property mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM4.30 juta pada suku kedua 2024 daripada RM22.79 juta tahun lepas manakala perolehan menyusut kepada RM47 juta daripada RM92.41 juta sebelumnya.

Menurut kumpulan itu, penyusutan perolehan dan keuntungan bersih itu adalah berikutan sumbangan yang berkurangan daripada projek Bloomsvale.

-- BERNAMA