BERITA TERKINI   Kerajaan peruntuk RM3.5 juta perluas Program KasihnITa 2026, sasar 5,000 ibu tunggal di seluruh negara - Nancy | Malaysia kekal di landasan capai sasaran negara AI menjelang 2030 meskipun ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat - Gobind | KKR bina 91 bilik darjah di 70 sekolah guna kaedah modular, IBS libat kos RM80 juta daripada KPM - Ahmad Maslan | Diskaun bil elektrik 25 peratus di Sarawak bermula bulan ini hingga Dis 2026, manfaat 714,557 pengguna domestik - Premier | Sewa di premis kerajaan dikurangkan 50 peratus bagi peniaga kecil, sederhana di Sarawak - Premier | 

Lawatan Rasmi Anwar Ke Korea Selatan jana Potensi Pelaburan RM32.8 Bilion

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 26 Nov (Bernama) -- Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan yang berakhir hari ini menjana potensi pelaburan bernilai RM32.8 bilion kepada Malaysia.

Bercakap kepada pemberita pada akhir lawatan itu, beliau berkata lawatan tersebut bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, malah juga membuka ruang dan peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia ketika pertemuan dengan kalangan syarikat besar negara itu.

Selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol semalam, Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa konglomerat Korea Selatan, termasuk yang dikenali sebagai chaebol (tokoh korporat) atau konglomerat milik keluarga, yang secara tradisinya menikmati hubungan rapat dengan kerajaan Korea Selatan.

Pertemuan itu melibatkan syarikat termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO.

“Setakat ini, potensi pelaburan adalah sebanyak RM32.8 bilion dan potensi eksport Malaysia (ke Korea Selatan) sebanyak RM1.3 bilion,” kata Anwar di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Hyundai Motor mengumumkan pelaburan baharu bernilai US$479 juta di Malaysia bagi tempoh enam tahun, menerusi perkongsian strategik bersama Inokom bagi pemasangan automotif untuk beberapa model baharu di Malaysia tahun depan.

Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia pula ialah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Korea Selatan.

Bagi 10 bulan tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan mencecah RM91.1 bilion (US$19.8 bilion). 

Turut mengiringi Anwar semasa lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

-- BERNAMA