BERITA TERKINI   Piala Dunia Berbasikal Trek 2026: Azizulhasni Awang raih gangsa acara pecut individu lelaki | Piala Uber: Malaysia 1 Afrika Selatan 0: K. Letshanaa menewaskan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 | Dua jemaah haji Malaysia yang dirawat di hospital di Madinah dan Mekah berada dalam keadaan stabil - TH | Sultan Selangor perkenan temasya SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah - KBS | Krisis bekalan global: Malaysia perlu beralih kepada ekonomi produktiviti tinggi, perkukuh rantaian bekalan negara - TPM Ahmad Zahid | 

Pertumbuhan Trafik Penumpang MAHB Kekal Utuh Pada 2024-2025 - Penganalisis

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan trafik penumpang di rangkaian lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka kekal kukuh bagi 2024-2025, disokong oleh peningkatan permintaan pasaran utama seperti China, India dan Asia Tenggara.

Dalam satu nota, CIMB Securities Sdn Bhd berkata pelonggaran keperluan visa dilihat terus menyemarakkan ketibaan penumpang susulan keputusan China melanjutkan dasar bebas visa untuk rakyat Malaysia sehingga 2025.

Sementara itu, Malaysia mengikut langkah dasar yang sama untuk pelancong China sehingga akhir tahun 2026. 

"Pengenalan syarikat penerbangan dan laluan baharu juga dijangka meningkatkan pertumbuhan trafik merentasi rangkaian MAHB," kata firma pembrokeran itu.

CIMB Securities berkata keputusan suku ketiga MAHB berakhir 30 Sept 2024 adalah sejajar dengan jangkaan, dengan mancatatkan keuntungan bersih RM210.37 juta bagi suku tersebut, peningkatan ketara daripada RM94.76 juta setahun lepas, manakala hasil meningkat kepada RM1.53 bilion berbanding RM1.28 bilion.

Justeru itu, ia mengekalkan saranan "Pegang" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM11 sesaham, seiring dengan harga tawaran penstrukturan semula kepentingan MAHB.

“Tawaran ini memberi peluang kepada pelabur untuk memperoleh pulangan segera di samping mendapat manfaat untuk pertumbuhan yang mampan.

“Bagaimanapun, cabaran ketersambungan jarak jauh Malaysia dan pelaburan modal yang diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur mungkin menimbulkan risiko kepada pertumbuhan organik MAHB. Justeru, kami mengesyorkan pelabur menerima tawaran itu,” katanya.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengesyorkan pelabur menerima tawaran pada RM11, yang mencerminkan premium 18 peratus kepada nilai saksama.

Pada 11.15 pagi, harga saham MAHB naik empat sen kepada RM10.60 dengan 73,200 unit diniagakan.

-- BERNAMA