BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Sekatan Terhadap Rusia: Syarikat Pengeluar Tempatan Dinasihat Berhati-hati - Menteri Luar

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan memberi peringatan kepada syarikat pengeluar tempatan supaya memastikan destinasi akhir barangan yang dieksport ke negara luar bagi mengelakkan terkesan dengan sekatan dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Rusia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata walaupun Malaysia tidak menerima pakai sekatan unilateral dilakukan oleh AS terhadap Rusia yang tidak diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagaimanapun tidak mahu Malaysia terkesan jika tidak mematuhinya.

"Amerika ni kadang-kadang dia buat 'gila-gila' (tindakan semberono), seandainya mereka (AS) melaksanakan 'secondary sanction' (sekatan) terhadap Malaysia...ia akan menjadi lagi teruk.

"Kita tidak mahu ada tindakan berkenaan dari Amerika Syarikat iaitu 'secondary sanction' terhadap Malaysia...sebab kita akan berada dalam keadaan amat sukar ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PN-Pulai) di Dewan Rakyat mengenai kesan penyertaan Malaysia dalam BRICS.

Mohamad turut menjelaskan ada menerima notis daripada AS untuk mengenakan sekatan kepada beberapa syarikat di negara ini dan menegaskan tiga daripada enam syarikat disenarai dalam notis itu bukan syarikat pengeluar sebaliknya syarikat perdagangan.

Tiga syarikat itu masih boleh dikenakan di bawah Akta Kastam 1967 kerana membuat pengisytiharan palsu berhubung barangan dan negara asal mereka, katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu penyertaan Malaysia yang sudah diterima sebagai negara rakan BRICS tidak akan mengubah peranan negara dalam mana-mana gabungan antara-kerajaan di peringkat global.

"Ia akan menambah luas lagi peranan kita terutamanya dalam bidang ekonomi. Saya telah pun mengutus surat balas kepada rakan sejawat saya daripada Rusia selaku Pengerusi BRICS pada tahun ini dan kami amat gembira terhadap keputusan yang telah dibuat semasa summit BRICS di Kazan baru-baru ini," katanya.

-- BERNAMA