BERITA TERKINI   Operasi pembenihan awan akan dijalankan di Kedah dan Perlis pada 10-12 Mei serta 17-19 Mei - Arthur | 20 pendaki terkandas susulan letusan Gunung Dukono di Indonesia, operasi pemindahan sedang dijalankan - Basarnas | Amalkan politik matang, jangan main isu gugat perpaduan, titah Tengku Hassanal | KPKM kurangkan kebergantungan import jagung, soya, beras dan bawang susulan ketidaktentuan geopolitik global - Mohamad | Malaysia sokong mempercepat pelaksanaan Rangka Kerja Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN - PM Anwar | 

Kerajaan Optimis Sasaran Pelaburan SSN Akan Tercapai - MITI

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan optimis terhadap sasaran pelaburan yang ditetapkan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (SSN) selepas mengambil kira prestasi pelaburan semasa sektor semikonduktor negara yang memberangsangkan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pada 2023, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM69.4 bilion (82 peratus) daripada RM84.5 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan bagi projek elektrik dan elektronik (E&E).

“Bagi separuh pertama 2024, kerajaan telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM34.6 bilion dan RM0.98 bilion daripadanya merupakan pelaburan domestik (DI) manakala RM33.63 bilion adalah pelaburan asing (FI).

“Selain itu, sebanyak tiga syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan telah ditubuhkan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin mengetahui mengenai kemajuan yang telah dicapai melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan SSN.

Katanya sehingga suku ketiga 2024, SSN telah membuka peluang pekerjaan kepada seramai 4,673 individu, dengan 97 peratus daripada pengambilan tersebut terdiri daripada pekerja teknikal, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kumpulan bakat negara.

-- BERNAMA