BERITA TERKINI   Liga Super: Selangor 5-2 Terengganu | Liga Super: KL City 3-1 PDRM | Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | 

Yinson Renewables Peroleh Pembiayaan US$59 Juta Bagi Projek Solar Matarani

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Yinson Holdings Bhd menerusi unit perniagaan tenaga boleh baharu, Yinson Renewables (YR) memperoleh kemudahan pembiayaan hijau bercagar senior US$59 juta (US$1=RM4.4325) bagi projek solar Matarani di Peru daripada IDB Invest dan Natixis Corporate & Investment Banking (Natixis CIB).

Ketua Pegawai Kewangan YR Vegard Urnes berkata pembiayaan itu merupakan peristiwa penting bagi syarikat itu di Amerika Latin.

Beliau berkata pencapaian itu bukan sahaja membuktikan komitmen YR untuk memajukan penyelesaian tenaga boleh baharu malah juga menekankan kepentingan perkongsian strategik dengan institusi seperti IDB Invest dan Natixis CIB.

“Kerjasama ini adalah bukti bagi matlamat bersama kami untuk memupuk pembangunan mampan dan menangani perubahan iklim. 

“Kami berharap dapat meneruskan kerja-kerja kami di Peru dan di luarnya, dengan memanfaatkan kerjasama kukuh ini untuk memacu pelbagai projek di masa depan yang menyumbang kepada landskap tenaga yang lebih lestari dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut YR, Natixis CIB akan berperanan sebagai bank penstrukturan tunggal, penyelaras pinjaman hijau dan pengatur utama bersama dengan IDB Invest.

Loji Solar Matarani dengan 97 MWp (megawatt puncak) yang terletak berhampiran Arequipa, Peru disokong oleh perjanjian pembelian tenaga jangka masa panjang dengan Orygen iaitu pembekal dan penjana utama tenaga boleh baharu terkemuka negara itu. 

Projek itu menjadi satu pencapaian penting dalam sektor tenaga di Peru, kerana ia akan menjadi loji solar pertama yang beroperasi tanpa subsidi dan akan dibiayai menerusi kemudahan pembiayaan projek hijau.

-- BERNAMA