BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | PM Anwar suarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan dan kemanusiaan | 

Ringgit Ditutup Hampir Tidak Berubah Berbanding Dolar US

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar US pada Khamis disebabkan aktiviti dagangan yang lengang susulan permintaan berkurangan dengan ketara daripada pelabur utama menjelang cuti sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving) di Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.4440/4490 berbanding dolar US daripada paras penutup 4.4440/4465 semalam.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata dagangan ringgit mencerminkan trend mata wang Asia yang lebih luas hari ini, didorong terutamanya oleh pertukaran mata wang tempatan.

"Sesi dagangan hari ini menyaksikan sedikit perubahan daripada kenaikan sebelum ini, sebahagian besarnya didorong oleh aliran urus niaga domestik di mana terdapat minat rendah untuk membeli dolar AS, semuanya disebabkan cuti sambutan Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama.

Pasaran AS ditutup pada Khamis untuk cuti sambutan Hari Kesyukuran.

Urus niaga akan disambung semula pada Jumaat bagaimanapun akan berakhir lebih awal.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.6217/6280 daripada 5.5962/6044 sebelumnya dan turun berbanding euro kepada 4.6800/6852 daripada 4.6691/6759 sebelum itu namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9258/9293 daripada 2.9311/9356 sebelum itu.

Dalam pada itu, prestasi ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.3056/3095 berbanding 3.3055/3106 semalam dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 279.9/280.5 daripada 278.6/279.1 sebelum itu.

Ringgit jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8999/9211 daripada 12.8342/8597 pada Rabu dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.58 daripada 7.56/7.57 sebelumnya.

-- BERNAMA