BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Kos Pembangunan RM16.5 Bilion DNB Tidak Libatkan Dana Kerajaan - Gobind 

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Digital hari ini menegaskan kos berjumlah RM16.5 bilion untuk Digital Nasional Bhd (DNB) membangunkan dan menyelenggara rangkaian 5G pertama selama 10 tahun tidak melibatkan dana kerajaan. 

Menterinya Gobind Singh Deo berkata sebaliknya, DNB menerima suntikan ekuiti sebanyak RM500 juta pada 2021 serta pinjaman pemegang saham berjumlah RM450 juta oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2023. 

“Selain itu, perbelanjaan DNB dilaksanakan melalui pinjaman swasta, termasuk pinjaman bank yang dijamin oleh kerajaan serta sumber-sumber kewangan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

“Jumlah RM950 juta ini, iaitu RM500 juta suntikan ekuiti dan pinjaman pemegang saham RM450 juta, serta pinjaman bank dijamin kerajaan akan diambil alih dan dibayar balik oleh pihak syarikat telekomunikasi kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada proses peralihan kepada model dwirangkaian 5G negara,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 10 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan rang undang-undang tersebut.

Setakat 2024, DNB telah membelanjakan RM5 bilion bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan rangkaian 5G DNB.

Beliau berkata kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian.

Beliau juga telah mengarahkan agar audit atau kajian usaha wajar dijalankan untuk memastikan aspek pentadbiran atau tata kelola dan sebagainya di dalam DNB dipantau rapat.

“Kajian usaha wajar itu memberikan jawapan (mendapati) bahawa perkara yang kita lihat dari aspek pentadbiran, kewangan dan sebagainya adalah teratur, tidak ada masalah.

“Saya ingin menyatakan dengan tegas sekiranya wujud atau ada perkara yang perlu ditangani, dibawa kepada perhatian saya, saya akan ambil tindakan,” katanya.

-- BERNAMA