BERITA TERKINI   Lima penuntut Universiti Al-Azhar dari Malaysia terlibat kemalangan kereta di Mesir alami luka ringan, tiga lagi ditempatkan di wad- Education Malaysia Egypt | Pembatalan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bukan keputusan bersifat ‘flip flop’ - Dzulkefly | Fenomena kerang terdampar di pantai Terengganu bukan petanda bencana, selamat dimakan - Penyelidik UMT | 273,590 penerima program i-Sejahtera di Pulau Pinang terima bayaran fasa satu mulai 12 Mac depan - Exco | KPKT peruntuk RM15 juta untuk kerja naik taraf Pasar Besar Ipoh supaya moden dan jadi tarikan pelancong - Nga | 

Maybank Asset Management Bekerjasama Dengan Fidelity International Untuk Lancar Dana Pelbagai Aset

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) telah melancarkan Dana MAMG Alpha Capital & Income Opportunities untuk meningkatkan kepelbagaian dan memberi pendapatan dan pertumbuhan modal.

MAM Malaysia dalam satu kenytaan berkata dana itu disalurkan ke dalam ‘FAST - Maybank Alpha Capital & Income Opportunities Fund’ oleh Fidelity International, menawarkan pelabur akses luas kepada pelaburan dinamik untuk faedah kepelbagaian yang lebih besar.

Dana disasarkan untuk menghasilkan pertumbuhan modal melalui spektrum pelaburan yang luas, menggunakan peruntukan aset strategik Maybank untuk mengemudi kitaran pasaran dan peruntukan aset taktikal dinamik Fidelity untuk menjana alfa dan mengurus risiko penurunan.

“Dana itu direka untuk menjana pulangan positif merentas pelbagai keadaan pasaran sambil menyediakan perlindungan dalam pasaran yang mencabar.

"Ia menawarkan dua pilihan: pengumpulan untuk pertumbuhan modal jangka panjang melalui dividen dilaburkan semula dan pendapatan bagi mereka yang mencari aliran dividen bulanan tetap," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAM Malaysia Hisham Hamzah berkata dana itu direka untuk menggabungkan kepakaran global, memberikan peluang peneraju pasaran meningkatkan kekayaan dan juga melindungi kitaran pasaran berbeza.

“Tersedia secara eksklusif kepada pelanggan Maybank, dana ini menunjukkan komitmen kami untuk menyampaikan penyelesaian pelaburan, seiring dengan objektif kewangan jangka panjang mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Syed Ahmad Taufik Albar berkata Maybank adalah bank tempatan pertama menawarkan dana pelbagai aset global yang memanfaatkan kepakaran peruntukan aset strategik dalaman.

Sebagai pengedar eksklusif dana itu, beliau berkata bank itu menawarkan pelanggannya penyelesaian pelaburan tersuai yang memberikan pendedahan pelbagai dan peluang pendapatan dipertingkatkan, sejajar dengan misi Maybank untuk menyampaikan penyelesaian inovatif dan tertumpu kepada pelanggan.

“Dana ini telah mendapat sambutan baik di Singapura, mencecah saiz SGD$100 juta pada akhir Oktober 2024.

“Sama ada anda lebih suka untuk berhubung dengan Penasihat Pelanggan atau Pengurus Perhubungan anda, berurusan di cawangan Maybank atau mengaksesnya dengan mudah dalam talian melalui Maybank2u, dana ini tersedia untuk membantu anda mencapai matlamat kewangan anda,” katanya.

Mata wang asas dana adalah dalam mata wang Amerika Syarikat (dolar US) dan ditawarkan dalam enam kelas dalam denominasi mata wang berbeza, iaitu dolar US, ringgit dan ringgit (lindung nilai).

Jumlah pelaburan minimum ialah US$1,000 untuk kelas dolar US dan RM1,000 untuk kelas ringgit dan ringgit (lindung nilai).

-- BERNAMA