BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

KUSKOP Fokus Bangunkan Ekosistem Lebih Baik Untuk Usahawan

KOTA KINABALU, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk membangunkan ekosistem yang lebih kondusif dan inklusif untuk usahawan, kata menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick.

Merasmikan Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Malaysia 2024 di sini hari ini, beliau menekankan kepentingan menggalakkan inovasi, menambah baik akses kepada pendanaan dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan untuk mempercepat pertumbuhan landskap keusahawanan negara.

"Inisiatif seperti Shell LiveWIRE penting dalam menyelaraskan keusahawanan dengan matlamat negara kita iaitu kemampanan dan keterangkuman.

Program-program ini bukan sahaja memperkasakan individu untuk memulakan perniagaan tetapi juga memberikan inspirasi kepada mereka untuk berinovasi, mewujudkan pekerjaan dan kemajuan masyarakat yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata KUSKOP juga sedang membangunkan sistem sokongan holistik untuk usahawan dan koperasi antara lain memupuk kerjasama antara agensi kerajaan, pemain sektor swasta dan persatuan komuniti untuk mencipta satu ekosistem kukuh yang merangsang daya tahan dan kebolehan menyesuaikan diri.

"Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (NEP 2030) menjadi rangka kerja panduan kami untuk mengubah Malaysia kepada negara keusahawanan. Ia memastikan semua segmen masyarakat mempunyai peluang untuk meneroka potensi keusahawanan mereka," katanya.

Beliau menekankan kepentingan pembimbing (mentorship) dalam membina ekosistem keusahawanan yang berkembang maju, dengan usahawan berpengalaman mempunyai tanggungjawab untuk membimbing dan menyokong generasi seterusnya.

Langkah menyumbang semula itu katanya menguatkan ekosistem serta memastikan pertumbuhan dan inovasi yang mampan. 

Ewon turut memuji Shell dan pihak berkepentingan lain atas sokongan mereka dalam mendidik bakat keusahawanan Malaysia memandangkan usaha kolektif diperlukan daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat swasta seperti Shell untuk mewujudkan landskap keusahawanan yang lestari.

-- BERNAMA