BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Kerajaan Pertingkat Ekonomi Perlis Melalui Sokongan Bina Infrastruktur - Hanifah Hajar

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mempertingkat ekonomi di Perlis dengan memberi sokongan dari segi pembinaan infrastruktur mengikut keperluan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan serta penjanaan pelaburan.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM2.87 bilion bagi Perlis termasuk projek infrastruktur.

Dalam aspek pelaburan pula, Hanifah berkata kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan direalisasi sebanyak RM173.3 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023 bagi Perlis. 

“Antara projek pelaburan berimpak tinggi yang dibangunkan oleh NCIA di Perlis adalah Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang telah siap dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad mengenai usaha Kerajaan Persekutuan dalam membantu membangunkan negeri bersaiz kecil seperti Perlis yang menghadapi kekangan untuk menjana hasil negeri berikutan kekurangan infrastruktur yang mencukupi untuk menjana pelaburan industri berprofil tinggi.

Menurutnya sehingga Oktober 2024, terdapat dua syarikat telah melabur di CVIA iaitu syarikat elektrikal dan elektronik serta syarikat farmaseutikal dengan jumlah pelaburan sebanyak RM325 juta dan penghasilan 350 peluang pekerjaan. 

Hanifah Hajar berkata NCIA turut membangunkan infrastruktur luaran bagi menyokong pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Chuping, Perlis yang dibangunkan oleh pihak swasta.

“Projek infrastruktur luaran oleh NCIA ini dijangka siap menjelang penghujung 2024 dan PIP dijangka beroperasi pada Julai 2025,” kata Hanifah Hajar. 

Beliau berkata pembangunan PIP ini dijangka mengukuhkan ekosistem logistik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara yang akan menjadi hab logistik memudah cara perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand.

“Dengan adanya ekosistem logistik yang kukuh di Perlis, dijangka usaha kerajaan untuk menarik pelabur daripada kalangan industri bernilai tinggi untuk melabur di Perlis akan menjadi lebih mudah. Ini seterusnya dapat memanfaatkan ekonomi setempat dan menjana hasil negeri ini,” kata Hanifah Hajar.

-- BERNAMA