BERITA TERKINI   AXIS REIT sasar jumlah nilai pemerolehan RM300 juta tahun ini - CEO | Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana pada 4.6 peratus 2025, disokong projek infrastruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Ringgit dijangka diniagakan mendatar, dengan unjuran akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar AS - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | BNM akan kekalkan pendirian akomodatif dan pastikan kadar OPR kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2025 - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada suku kedua 2025 tanpa menjejaskan Kepengerusian ASEAN-Malaysia - MAHB | 

PIAM Beri Jaminan Segera Proses Tuntutan Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan syarikat ahlinya komited untuk menyokong mangsa banjir dengan menyediakan bantuan segera dan mempercepatkan proses tuntutan.

Dalam kenyataan hari ini, PIAM menggalakkan pemegang polisi yang terjejas supaya memastikan polisi insurans kebakaran dan kenderaan mereka mempunyai tambahan perlindungan banjir.

“Walaupun polisi standard mungkin tidak melindungi kerosakan akibat banjir, ahli-ahli kami ada menawarkan perlindungan banjir pilihan,” katanya.

Pemegang polisi juga dinasihatkan untuk mengambil gambar dan video mengenai segala kerosakan harta benda dan barangan mereka serta menghubungi penanggung insurans secepat mungkin untuk melaporkan kerugian dan memulakan proses tuntutan.

“Pemegang polisi mesti menyediakan semua dokumen yang diperlukan seperti bukti pemilikan, anggaran pembaikan dan resit bagi sebarang perbelanjaan kecemasan,” katanya.

Menurut PIAM, ahli-ahlinya akan mengutamakan pemprosesan tuntutan banjir bagi memastikan pembayaran secepat mungkin manakala sesetengah syarikat insurans telah melaksanakan prosedur pemprosesan tuntutan yang dipercepatkan, selain menyediakan unit tuntutan mudah alih di lapangan untuk memperkemaskan proses tersebut.

“Bagi pemegang polisi komprehensif kereta, aplikasi bantuan kerosakan tepi jalan digital boleh didapati melalui telefon dan laman web, menawarkan bantuan segera termasuk perkhidmatan penundaan.

“Selain itu, ahli-ahli kami turut mempunyai pasukan sokongan pelanggan yang dedikasi untuk membantu mangsa banjir dengan tuntutan dan pertanyaan mereka,” katanya.

Antara ahli PIAM yang boleh dihubungi pemegang polisi ialah AIA General Bhd, Allianz General Insurance Malaysia Bhd, Liberty General Insurance Bhd dan Etiqa General Insurance Bhd.

-- BERNAMA