BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Kerajaan Lulus Pelaburan RM489.5 Bilion Bagi Tempoh 2023-Jun 2024 - MITI

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM489.5 billion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh 2023 hingga Jun 2024, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM262.9 bilion atau 53.7 peratus adalah pelaburan asing manakala RM226.5 bilion merupakan pelaburan domestik.

“Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi sebanyak RM65.97 bilion dan diikuti Kedah (RM54.90 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM43.79 bilion), Johor (RM38.97 bilion) dan Selangor (RM29.89 bilion)," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan setakat ini serta perinciannya mengikut negeri, di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Liew berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha menarik pelaburan berkualiti bagi memberi manfaat kepada negara dan rakyat, termasuk melalui aktiviti ekonomi, peluang perniagaan dan pekerjaan bernilai tinggi.

-- BERNAMA