BERITA TERKINI   AXIS REIT sasar jumlah nilai pemerolehan RM300 juta tahun ini - CEO | Pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka sederhana pada 4.6 peratus 2025, disokong projek infrastruktur, pelaksanaan pelaburan swasta dan penggunaan swasta yang teguh - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Ringgit dijangka diniagakan mendatar, dengan unjuran akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar AS - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | BNM akan kekalkan pendirian akomodatif dan pastikan kadar OPR kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2025 - Ketua Ahli Ekonomi AmBank | Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada suku kedua 2025 tanpa menjejaskan Kepengerusian ASEAN-Malaysia - MAHB | 

Malaysia, Indonesia Tingkat Eksport Halal Seiring Pertumbuhan Perdagangan Dua Hala

JAKARTA, 3 Dis (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bersama agensi-agensi utama kerajaan berusaha memperkukuh eksport produk halal ke Indonesia dengan perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara dijangka mencecah US$25 bilion (US$1=RM4.45) hingga US$26 bilion tahun ini.

Berucap pada Seminar Celik Kastam Siri 2/2024 di kompleks kedutaan itu pada Selasa, Duta Besar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata jumlah perdagangan di antara kedua-dua negara adalah sebanyak US$18.89 billion dari Januari hingga September 2024.

Beliau juga menekankan kepentingan mengenai prosedur bagi permohonan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia dan keperluan pensijilan halal daripada Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, sekali gus meningkatkan jumlah perdagangan di antara kedua-dua negara.

“Seminar ini dapat memastikan pematuhan terhadap peraturan Indonesia meliputi makanan, minuman, kosmetik, ubat-ubatan, kosmetik dan barang keperluan lain yang dimasukkan atau diedarkan mempunyai sijil halal,” kata Syed Md Hasrin.

Beliau menyarankan supaya syarikat Malaysia memanfaatkan sokongan kedutaan bagi memenuhi keperluan peraturan dan merebut peluang pasaran di republik berkenaan.

Indonesia berada di kedudukan ketujuh dengan jumlah pembeli produk halal terbesar di dunia, berdasarkan laporan platform e-dagang Alibaba.com bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 2023.

“Indonesia menduduki tempat teratas di rantau Asia Tenggara. Negara-negara yang menduduki tempat pertama hingga keenam adalah Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Mesir, United Kingdom dan Arab Saudi,” jelasnya.

Beliau percaya kerjasama erat di antara agensi Malaysia seperti MATRADE, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan BPOM dan BPJPH Indonesia bakal mempermudah proses pensijilan bagi perniagaan Malaysia.

-- BERNAMA