BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Apabila Pelabur Pilih Mata Wang Selamat

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, apabila unjuran ekonomi global mendorong pelabur mengalihkan minat kepada mata wang selamat, kata penganalisis.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.4675/4720 berbanding dolar AS, daripada 4.4570/4625 ketika ditutup semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ancaman tarif ke atas BRICS kekal mempengaruhi pasaran serantau, terutama apabila yuan China memberi tekanan negatif kepada mata wang serantau.

“Wujud jangkaan pasaran mengenai pengurangan kadar faedah yang lebih ketara oleh China untuk menyokong ekonominya yang semakin lemah memandangkan hasil bon China berkurang.

“Ini telah mengakibatkan perbezaan kadar faedah yang semakin luas antara AS dan China, bukan sahaja yuan susut malah juga mengheret turun kalangan mata wang negara ASEAN,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam situasi itu, catatan media sosial Donald Trump yang tidak dijangka terus menyuntik ketegangan dan sentimen untuk berhati-hati dalam kalangan pelabur, terutama di Malaysia.

“Ini menyebabkan mereka yang menentang dolar AS berada dalam kedudukan yang sangat berisiko,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kekal bimbang mengenai kenyataan Trump mengenai tarif baru-baru ini, dalam keadaan menjelangnya angkat sumpah Trump sebagai Presiden AS pada 20 Jan, 2025.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 17 dan 18 Dis ini diharapkan dapat memberi lebih banyak penjelasan mengenai pandangan Rizab Persekutuan AS (Fed) terhadap ekonomi mereka.

“Ini kerana Fed akan berkongsi unjuran makroekonomi terkini AS, terutama kemungkinan mengenai Kadar Dana Fed pada 2025,” katanya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding pound British kepada 5.6643/6700 daripada 5.6613/6683 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding euro kepada 4.7003/7050 daripada 4.6856/6914.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9825/9859 daripada 2.9648/9687 semalam.

Mata wang domestik diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3223/3261 daripada 3.3113/3156 ketika ditutup pada Isnin, dan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 280.1/280.5 daripada 280.1/280.6.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.9854/13.0042 daripada 12.9196/9423, dan lemah berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.63 berbanding 7.59/7.61.

-- BERNAMA