BERITA TERKINI   KDN sedang bangunkan sistem canggih, saring penumpang lebih awal dan tingkatkan keselamatan perjalanan udara - Saifuddin Nasution | RUU berhubung operasi kawalan sempadan bersama bagi RTS Link Johor Bahru-Singapura dijangka dibentang Februari 2026 - Saifuddin Nasution | Keuntungan bersih Maybank meningkat kepada RM2.63 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM2.53 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2024 | Untung bersih Public Bank Bhd bagi suku kedua susut kepada RM1.76 bilion, dan mencatatkan perolehan berjumlah RM7.35 bilion  | Integrasi meningkat di rantau ini menekankan kepentingan kerjasama lebih erat dalam ASEAN - Amir Hamzah | 

Untung Bersih VS Industry Susut Kepada RM30.6 Juta Suku Pertama Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik bersepadu VS Industry Bhd (VS Industry) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM30.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Okt 2024 daripada RM48.98 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan bagi suku berkenaan menyusut RM29.5 juta kepada RM1.11 bilion daripada RM1.14 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan pesanan jualan lebih rendah daripada pelanggan sedia ada dan kadar tukaran asing yang tidak menggalakkan.

Berdasarkan segmen geografi, VS Industry berkata perolehan di Malaysia kekal stabil, tetapi keuntungan terkesan dengan kerugian akibat tukaran asing bersih berjumlah RM2.7 juta berbanding keuntungan RM8.5 juta pada tahun sebelumnya. 

Menurutnya segmen Singapura yang menyokong operasi pemasaran di Malaysia merekodkan keuntungan sebelum cukai lebih rendah bagi suku semasa seiring dengan penyusutan pesanan yang dihantar.

“Sebagai perbandingan, segmen Indonesia menyaksikan pertumbuhan perolehan 49.2 peratus kepada RM111.1 juta, didorong oleh pesanan yang kukuh.

“Ia ditunjukkan menerusi keuntungan sebelum cukai RM5.7 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM1.5 juta bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Mengenai rancangan masa depan, VS Industry menumpukan kepada usaha untuk mempertingkatkan keupayaan integrasi vertikal bagi mengukuhkan kerjasama selanjutnya dengan pelanggan utama manakala  lembaga pengarah menyatakan keyakinan mengenai prestasi kewangan bagi tahun kewangan itu.

VS Industry mengumumkan dividen interim pertama sebanyak empat sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025.

Dividen ini akan dibayar pada 31 Dis 2024 kepada pemegang saham yang disenaraikan dalam rekod sehingga 17 Dis 2024.

-- BERNAMA