BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Permintaan Penumpang Global Naik 7.1 Peratus Pada Oktober 2024 - IATA

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Jumlah permintaan penumpang global yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 7.1 peratus pada Oktober 2024 berbanding tempoh sama bagi tahun lepas, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam kenyataannya hari ini, IATA berkata jumlah kapasiti yang berdasarkan tempat duduk disediakan bagi setiap kilometer, menokok 6.1 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan pada 83.9 peratus atau meningkat 0.8 mata peratusan  berbanding Oktober 2023.

“Permintaan antaarabangsa naik 9.5 peratus berbanding Oktober 2023. Kapasiti pula meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan menambah kepada 83.5 peratus (0.6 mata peratusan lebih tinggi berbanding Oktober 2023).

“Pada masa sama, permintaan domestik meningkat 3.5 peratus berbanding Oktober 2023. Kapasiti naik 2.0 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan pada 84.5 peratus (naik 1.2 mata peratusan berbanding Oktober 2023)," kata IATA.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata walaupun permintaan kukuh dan stabil secara berterusan dianggap baik, namun peningkatan dalam faktor beban juga sama pentingnya.

“Ini menunjukkan industri ini mencatat prestasi memberangsangkan dalam membawa penumpang secara lebih cekap,” katanya.

IATA berkata semua wilayah turut memaparkan pertumbuhan untuk pasaran penumpang antarabangsa pada Oktober 2024 berbanding tempoh sama pada 2023.

Wilayah Eropah mencatat faktor beban muatan tertinggi, Afrika menunjukkan peningkatan mendadak manakala Amerika dan Timur Tengah susut.

“Permintaan syarikat penerbangan Asia-Pasifik meningkat sebanyak 17.5 peratus tahun ke tahun, (dengan) kapasiti meningkat 17.2 peratus tahun ke tahun manakala faktor muatan melonjak 82.9 peratus (0.3 peratus lebih tinggi berbanding Oktober 2023),” katanya.

-- BERNAMA