BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

Segmen E&E Catat Pelaburan Direalisasikan Sebanyak RM4.8 Bln Sehingga Jun 2024 - MITI

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Segmen elektrik dan elektronik (E&E) telah mencatatkan prestasi pelaburan direalisasikan tertinggi iaitu sebanyak RM4.8 bilion sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2024, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata prestasi pelaburan tersebut bersamaan 69.5 peratus daripada nilai pelaburan yang direalisasikan untuk sektor perkilangan, mencatatkan sejumlah RM9 bilion projek perkilangan telah direalisasikan dalam tempoh sama.

Selain itu, bagi industri dipacu masa depan melibatkan teknologi hijau pula dari tahun 2021 sehingga Jun 2024, sebanyak RM42 bilion diluluskan untuk projek yang melibatkan tenaga boleh baharu (TBB).

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM28.2 billion projek (bersamaan 67.1 peratus) telah direalisasikan.

“Daripada perspektif pelaburan digital melibatkan infra digital, berdasarkan rekod semasa dari 2021 sehingga 2023, sejumlah RM68.9 bilion pelaburan telah dilaksanakan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Dewan Negara hari ini.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen berkenaan yang ingin tahu berapa jumlah peratusan pelaburan melibatkan industri dipacu masa depan telah berjaya direalisasikan setakat ini.

Dalam pada itu, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus proaktif dalam memperkenalkan pembaharuan dasar bagi meningkatkan lagi keyakinan pelabur serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut akan dapat membantu negara mencapai matlamat pelaburan berdaya saing tinggi yang seterusnya dapat memanfaatkan rakyat dan negara,” katanya.

-- BERNAMA