BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Sektor OSV Kekal Positif Susulan Bekalan Terhad - Kenanga

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Sektor kapal sokongan luar persisir (OSV) khususnya segmen kapal tongkang kerja penginapan (AWB), dijangka kekal positif berikutan bekalan kapal yang terhad akibat kurang pelaburan selama bertahun-tahun, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Kenanga dalam satu nota penyelidikan berkata pasaran OSV tempatan mendapat manfaat daripada struktur kaptif itu kerana dasar kabotaj mengehadkan kapal asing manakala peraturan Malaysia membenarkan kapal berusia sehingga 20 tahun untuk bidaan berbanding had usia 15 tahun sebelumnya, ia adalah faktor menyumbang kepada kekangan bekalan.

“Dengan purata umur kapal berusia 14 tahun, sektor ini menghampiri titik kritikal untuk memohon kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan supaya dapat mengekalkan kecekapan operasi jangka panjang.

"Disebabkan permintaan kukuh, meletakkan sektor OSV untuk mencatatkan pertumbuhan berterusan dan kadar carter berdaya tahan," katanya.

Kenanga berkata jika permintaan berlanjutan untuk beberapa tahun akan datang, mungkin terdapat peningkatan permintaan untuk kapal baharu OSV.

Sementara itu, bank pelaburan itu melaporkan bahawa keputusan bagi sektor minyak dan gas (O&G) pada suku ketiga 2024 adalah bercampur-campur dengan 30 peratus syarikat melebihi jangkaan dan bahagian yang sama berprestasi rendah berbanding suku kedua 2024, 50 peratus syarikat melebihi jangkaan dan hanya 11 peratus gagal.

Ia berkata perkembangan makro yang lemah memberi kesan kepada peserta pertengahan hiliran manakala kaunter perkhidmatan huluan mengatasi prestasi margin keuntungan lebih kukuh daripada jangkaan, menggariskan daya tahan sektor huluan dalam keadaan ketidaktentuan makro global.

“Memandangkan 2025 semakin dekat, kami mengesyorkan pendekatan lebih selektif dalam ruang perkhidmatan huluan, memfokuskan pada sektor dipacu penyelenggaraan,” katanya.

Kenanga mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor O&G dengan penekanan sama diberikan kepada penyedia perkhidmatan huluan dan penggiat pertengahan berikutan prospek makro yang menggalakkan.

Kenanga berkata ia kekal optimistik mengenai pemain yang menumpukan penyelenggaraan seperti mereka dalam penyelenggaraan huluan dan AWB, memandangkan permintaan yang berdaya tahan dalam bidang tersebut.

"Selain itu, permintaan serantau dijangka meningkatkan aktiviti bagi penyedia perkhidmatan huluan dalam keadaan bekalan terhad," katanya.

-- BERNAMA