BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Komitmen MIDA Kepada Pelabur - Landskap Pelaburan Lebih Kukuh, Bersepadu

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk menyokong pelabur di setiap peringkat ke arah mewujudkan landskap pelaburan yang lebih kukuh dan bersepadu. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata MIDA sedang membina ekosistem yang pelaburan berimpak tinggi dan sedia untuk masa depan dapat berkembang maju.

“Ia mengenai kerjasama, mewujudkan peluang pekerjaan dan membina legasi pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua pihak – rakyat Malaysia dan pelabur.

“MIDA komited untuk menyokong pelabur di setiap peringkat, menjadi penyokong utama mereka, menyelesaikan masalah dan sebagai rujukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA juga telah menganjurkan acara yang menghimpunkan rakan dalam ekosistem pelaburan yang berpengaruh di negara ini merangkumi daripada agensi kerajaan, kerajaan negeri, koridor ekonomi, kedutaan, institusi kewangan, rakan strategik dan firma perundingan baru-baru ini.

Menurut MIDA dalam kenyataan yang sama, acara itu yang merupakan majlis makan malam rangkaian peringkat tinggi menjadi program besar pertama CEO sejak pelantikannya pada April.

Ia menunjukkan evolusi MIDA sebagai pemudahcara pelaburan yang dinamik, menempatkannya sebagai rakan strategik untuk pelabur meneroka landskap ekonomi Malaysia yang pelbagai.

Mereka yang hadir terlibat dalam perbincangan mengenai peluang pelaburan yang transformatif, inisiatif pembangunan mampan dan pendekatan inovatif kepada pertumbuhan ekonomi.

Pada acara itu, MIDA turut memaklumkan kelulusan pelaburan telah melonjak kepada RM254.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, mencatatkan peningkatan kukuh 10.7 peratus tahun ke tahun.

Lonjakan dalam pelaburan ini diunjurkan mewujudkan lebih 159,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam pelbagai sektor, sekali gus meningkatkan landskap pekerjaan negara.

Mengenai masa depan, MIDA mengumumkan fokus strategiknya untuk menarik pelaburan yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan matlamat pembangunan mampan.

Di bawah pelan tindakan transformatif ini, MIDA akan memberi keutamaan kepada pelaburan dalam sektor teknologi maju, transformasi digital dan industri mampan.

Agensi itu mengekalkan komitmennya untuk memudah cara pelaburan berimpak tinggi yang mewujudkan kesan pengganda ekonomi yang besar, memacu inovasi, pekerjaan dengan gaji tinggi untuk rakyat dan memajukan keupayaan teknologi dalam rantaian bekalan tempatan.

-- BERNAMA