BERITA TERKINI   CBH Engineering raih kontrak mereka dan membina sistem bekalan elektrik untuk pencawang pengguna cadangan pusat data di Selangor, bernilai RM171.99 juta | Sistem Alamat Nasional mampu jana limpahan ekonomi RM2 billion, wujud lebih 2,000 pekerjaan dalam lima tahun - Fahmi Fadzil | Bangkai helikopter milik PDRM yang yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah Khamis lepas, berjaya dinaikkan sekitar jam 11 pagi ini. | iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

Xindeco IoT Rasmi Kemudahan Pembuatan RFID Di Nilai

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Xindeco IoT Malaysia Sdn Bhd merasmikan kemudahan pembuatan Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) termaju di Nilai, Negeri Sembilan, menjadikannya sebagai hab pengeluaran RFID terbesar di Asia Tenggara.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Xindeco IoT berkata pelaburan strategik ini meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap teknologi RFID global.

Kemudahan seluas 30,000 kaki persegi itu yang terletak di Taman Perindustrian Arab Malaysia itu juga mampu menghasilkan satu bilion tag RFID setiap tahun, menurut kenyataan itu.

Ia turut menggabungkan sistem automasi termaju dengan keupayaan pembuatan ketepatan untuk menghasilkan kedua-dua penyelesaian RFID yang standard dan tersuai.

“Pelbagai sektor akan mendapat manfaat daripada penyelesaian ini, termasuk peruncitan, penjagaan kesihatan, logistik dan pengurusan rantaian bekalan di seluruh rantau Asia Pasifik,” kata MIDA dan Xindeco IoT.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan Xindeco IoT ini menunjukkan keyakinan syarikat global terhadap keupayaan teknologi Malaysia dan tenaga kerja mahirnya.

“Kemudahan pembuatan RFID baharu ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Ia sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, menyokong matlamat kita untuk menjadi peneraju teknologi serantau,” katanya.

Xindeco IoT ialah anak syarikat gergasi teknologi (teknologi) China Xiamen Xindeco IoT Technology Co Ltd.

-- BERNAMA