BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

ICW dan BuildXpo 2024 Catat Sasaran Nilai Perdagangan Sebanyak RM654.4 Juta

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) serta Pameran Industri Pembinaan dan Bangunan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024 berjaya mencatatkan sasaran nilai perdagangan sebanyak RM654.4 juta tahun ini.

Ini menunjukkan lonjakan sebanyak 32 peratus berbanding RM494.3 juta yang dicatat pada penganjuran 2023. 

Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Ir Yusuf Abd Wahab berkata ICW & BuildXpo 2024 adalah bukti usaha gigih CIDB untuk memajukan industri pembinaan Malaysia.

"Pencapaian rekod kami mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap keupayaan pembinaan Malaysia serta komitmen kukuh kami terhadap inovasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia Zainora Zainal berkata melalui inisiatif seperti "Pelan Hala Tuju Pembinaan 4.0" dan promosi sistem binaan berindustri, CIDB sedang merangka laluan transformasi untuk sektor pembinaan Malaysia.

"ICW & BuildXpo 2024 mengesahkan visi strategik kami dan menggariskan peranan kritikal sektor itu dalam memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.

Menurut kenyataan CIDB, acara serantau yang diadakan pada 22 hingga 24 Oktober itu dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya dan disusun oleh CIDB Malaysia serta diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

Acara tersebut mempamerkan kepimpinan negara dalam kecemerlangan pembinaan dengan menghimpunkan hampir 15,000 profesional, pembuat dasar dan penggiat inovasi bersama 200 pempamer dari 20 negara.

"Daripada robotik maju hingga sistem bangunan pintar generasi akan datang dan teknologi pencetakan tiga dimensi (3D), ICW & BuildXpo 2024 meletakkan Malaysia sebagai hab utama untuk inovasi pembinaan," katanya.

Acara ini disokong oleh tiga perjanjian utama yang akan membentuk masa depan sektor pembinaan Malaysia iaitu kerjasama akreditasi pemodelan maklumat bangunan bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, kerjasama strategik dengan PlanRadar dan memorandum persefahaman perintis dengan Wenma Scaffolding Solutions and Services Malaysia.

"ICW & BuildXpo 2024 turut menyaksikan lapan dokumen persefahaman ditandatangani bersama rakan kongsi dari Australia, China, Hong Kong, Korea, Norway dan Sepanyol.

"Perjanjian-perjanjian ini yang diunjurkan memberikan nilai antara RM20 juta hingga RM30 juta dalam tempoh tiga tahun merangkumi pemindahan teknologi, program latihan lanjutan dan metodologi pembinaan termaju," kata kenyataan itu.

Program sumber antarabangsa daripada acara itu juga mencatatkan kejayaan besar serta menghasilkan nilai perdagangan sebanyak RM152.2 juta.

-- BERNAMA