BERITA TERKINI   98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | Kerajaan MADANI ambil pendekatan adakan libat urus dengan kerajaan negeri bagi tentukan keutamaan projek pembangunan - PM Anwar | 

Nestcon Raih Kontrak Solar Skala Besar Di Sabah

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Nestcon Infra Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Nestcon Bhd, akan membangunkan projek loji fotovoltan solar berskala besar (LSSPV) berkapasiti arus ulang alik sebanyak 14.99 megawatt (MWac) di Bongawan di Kimanis, Sabah.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, Nestcon berkata pihaknya telah menerima surat makluman daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) pada 19 Dis, 2024.

LSSPV itu akan beroperasi di bawah perjanjian pembelian kuasa (PPA) selama 25 tahun dengan tarikh operasi komersial tidak lewat dari 30 Nov, 2026.

“Di samping itu, projek berkenaan perlu memenuhi keperluan garis masa tertentu, termasuk tempoh bagi pelaksanaan PPA, masa mencapai penutupan kewangan dan penyerahan bon komitmen kepada ECOS berkaitan projek itu," kata Nestcon.

Syarikat itu berkata projek berkenaan akan dibiayai menerusi dana yang dikumpul secara dalaman serta pinjaman bank.

Projek itu juga dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan hutang syarikat sepanjang tempoh pelaksanaannya, katanya.

-- BERNAMA