BERITA TERKINI   Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | KPT pantau aktiviti berkaitan militan IS dalam kalangan pelajar IPT - Zambry | 

Bursa Malaysia Mohon Maklum Balas Mengenai Peraturan Depositori Bagi Penyata CDS Elektronik

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) hari ini mengeluarkan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan pindaan terhadap Peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd (Bursa Malaysia Depository) berikutan ia ke arah pendigitalan dalam pengeluaran penyata akaun sekuriti kepada pendeposit (penyata CDS).

 Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata cadangan pindaan itu membolehkan penyata CDS dikeluarkan menerusi portal MyBURSA bagi kemudahan dan akses yang lebih baik kepada pendeposit.

Katanya penyata CDS dalam bentuk salinan fizikal masih disediakan dengan bayaran atau mengikut keperluan pendeposit tertentu.

“Selain itu, cadangan pindaan itu memerlukan semua penerbit yang sekuritinya kekal didepositkan dengan Depositori untuk memastikan maklumat mereka sentiasa dikemas kini dan semua pihak tertakluk kepada Peraturan Depositori untuk memberikan maklumat yang tepat dan lengkap kepada Depositori.

“Keperluan ini penting bagi memastikan standard tertinggi untuk integriti dan ketelusan data,” menurut Bursa Malaysia.

Cadangan pindaan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecekapan operasi dan amalan mampan selain memastikan Peraturan Depositori kekal sesuai untuk memenuhi keperluan pelabur dan pihak berkepentingan.

Bursa Malaysia mengalu-alukan orang ramai untuk menghantar pandangan dan maklum balas mengenai cadangan pindaan terbabit menjelang 14 Feb 2025.

-- BERNAMA