BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Dengan Kecenderungan Penurunan Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan penurunan minggu depan berikutan permintaan dilihat lembap pada musim cuti, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata hujan berterusan di negara pengeluar getah menjejaskan pengeluaran getah dan mengganggu aktiviti menoreh getah.

Bercakap kepada Bernama, Low berkata pengeluaran getah di Thailand pada Disember telah berkurangan hampir 30 peratus disebabkan banjir dan hujan lebat.

“Dengan kekurangan bekalan, pasaran getah secara tidak langsung telah mencapai keseimbangan dengan kekurangan permintaan,” katanya. 

Sementara itu, seorang peniaga berkata harga getah tempatan akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah dalam kebimbangan berterusan mengenai kekurangan stok getah asli global disebabkan cuaca hujan di negara-negara pengeluar utama getah asli.

“Pengendali pasaran juga sedang memantau petunjuk seterusnya mengenai rangsangan China serta perkembangan terkini berkaitan ketegangan geopolitik global dan petunjuk ekonomi,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 6.5 sen kepada 869 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 22 sen kepada 699.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang semalam, harga SMR 20 berada pada 876.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 696.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA