BERITA TERKINI   Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | 

Samenta Gesa Kelantan Pertimbang Semula Keperluan Pensijilan Halal Bagi Pengusaha F&B

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula keputusannya mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri itu.

Samenta menjelaskan sebaliknya, kerajaan Kelantan perlu bekerjasama dengan pengusaha F&B untuk mempromosikan pensijilan halal serta dengan pihak berkuasa pensijilan untuk memperkemas dan mengurangkan beban dan kos untuk mendapatkan sijil itu.

Gesaan itu disuarakan Samenta susulan keputusan kerajaan Kelantan baru-baru ini untuk mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha F&B di negeri itu, bermula dengan daerah Kota Bharu, sebelum melaksanakannya bagi seluruh negeri.

Presiden Samenta Datuk William Ng berkata pensijilan halal tidak seharusnya diwajibkan kerana meningkatkan beban dan kos tambahan kepada perniagaan, terutama PKS dan peniaga kecil.

“Proses pensijilan halal boleh mencecah sehingga RM200,000 untuk setiap premis jika pengubahsuaian premis diperlukan, dan sehingga RM50,000 setahun jika seorang penyelaras halal diperlukan, di samping kos latihan pekerja baharu dan sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata restoran berangkaian mungkin mampu untuk mematuhi peraturan ketat itu, dan mendapat faedah pensijilan halal.

Bagaimanapun, bagi peniaga kecil, sama ada Muslim atau bukan Muslim, proses dan kos untuk mendapatkan pensijilan halal merupakan satu lagi bebanan kos, dalam persekitaran perniagaan yang sedang mengalami cabaran tekanan kos dan margin keuntungan yang rendah, katanya.

-- BERNAMA