BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Proses Ambil Alih MASwings Dijangka Selesai Menjelang Suku Pertama 2025

KUCHING, 30 Dis (Bernama) -- Proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh Sarawak dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2025, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata proses berkenaan yang sepatutnya selesai tahun ini perlu dilanjutkan bagi memberi masa untuk juruaudit yang dilantik meneliti nilai aset MASwings dikemukakan kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG).

“Kita ada nilai kita sendiri dan mereka (MAG) ada nilai mereka sendiri, jadi kita perlu tanya pihak ketiga (audit) untuk anggarkan nilai aset MASwings. 

“Sepatutnya bulan ini selesai tetapi disebabkan ada perbezaan nilai (yang dikemukakan kedua-dua pihak)…sebaik sahaja proses ini selesai jadi selesailah proses pengambilalihan tetapi yang pasti tahun depan suku pertama,” katanya. 

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek bangunan perubatan dan komersial Yayasan Buah Pinggang Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS) di sini hari ini.

Antara destinasi antarabangsa menjadi pilihan syarikat penerbangan Sarawak apabila pengambilalihan syarikat MASwings itu selelasi ialah Jerman, Korea, Jepun, Hong Kong dan Bangkok.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya berkata kerajaan Sarawak setakat ini telah mengagihkan 32 mesin dialisis di beberapa pusat dialisis terpilih bagi membantu pesakit buah pinggang di negeri ini.

“Kita boleh tambah tetapi dalam masa yang sama perlu didik orang ramai supaya menjaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat. Kita perlu mencari penyelesaian dan kerajaan negeri sedang berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Beliau juga berharap pembinaan bangunan perubatan dan komersial itu akan memanfaatkan pesakit buah pinggang di Sarawak yang kian meningkat jumlahnya.

-- BERNAMA