BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Ringgit Kekal Stabil Untuk Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Ringgit kekal stabil untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Isnin walaupun dolar AS mengukuh, dipacu oleh hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang meningkat. 

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.4645/4700 berbanding dolar AS daripada 4.4680/4750 semasa ditutup pada Jumaat.

Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan pada 4.631 peratus.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata prospek mata wang tempatan adalah tidak menentu buat masa ini.

"Wujud ketidakpastian mengenai dasar perdagangan Amerika dan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk 2025. Sebahagian besar hala tuju (monetari) Fed akan bergantung kepada rangka kerja dasar pentadbiran Rumah Putih yang seterusnya," katanya kepada Bernama.

Ringgit ditutup kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8278/8314 daripada 2.8300/8346 pada Jumaat lepas tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.6146/6215 daripada 5.5904/5991 dan rendah berbanding euro kepada 4.6583/6640 daripada 4.6543/6616.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2890/2935 daripada 3.2846/2900 semasa ditutup sebelumnya dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 276.5/277.0 daripada 275.4/276.1.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0905/1139 daripada 13.1023/1289 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.72/7.74 sebelumnya.

-- BERNAMA