BERITA TERKINI   Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | Pelabuhan Klang catat peningkatan jumlah pengendalian kontena sebanyak 3.4 peratus kepada 15.14 juta TEUs pada 2025, berbanding 14.64 juta TEUs pada 2024 | Permohonan fasa satu Dana Inovasi Media dibuka bermula 1 hingga 14 Jan ini - Kementerian Komunikasi | PM saran PBT elak guna orang tengah untuk pendaftaran permit perniagaan bazaar Ramadan | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Aktiviti Ambil Untung

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin selepas mencatatkan kenaikan awal berikutan peniaga mengambil untung susulan kenaikan harga yang berterusan baru-baru ini, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata penurunan permintaan eksport secara bermusim turut mempengaruhi permintaan untuk MSM.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,550 dan rintangan RM4,800 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2025 jatuh RM50 kepada RM4,925 setan manakala Februari 2025 merosot RM67 kepada RM4,714 satu tan dan Mac 2025 jatuh RM73 kepada RM4,551 setan.

Dalam pada itu, April 2025 berkurangan RM67 kepada RM4,392 satu tan manakala Mei 2025 dan Jun 2025 masing-masing menguncup RM61 kepada RM4,270 dan RM4,192 satu tan.

Jumlah dagangan jatuh kepada 45,092 lot daripada 56,591 lot pada Jumaat, manakala minat terbuka turun kepada 239,837 kontrak daripada 242,999 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan susut RM20 kepada RM5,030 satu tan.

-- BERNAMA