BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026  | PM Anwar puji kecekapan penjawat awam, lonjak prestasi Malaysia dalam IMD World Competitiveness Index 2026 | PM Anwar puji kecekapan penjawat awam, lonjak prestasi Malaysia dalam World Competitive Index | Pelaburan langsung Malaysia di luar negeri catat aliran keluar bersih lebih rendah bernilai RM12.4 bilion pada 2025 berbanding RM35.5 bilion pada 2024 - DoSM | Jumlah pelaburan langsung Malaysia di luar negeri sebanyak RM589.3 bilion pada akhir 2025 atau 29.1 peratus daripada KDNK berbanding 32.2 peratus pada 2024 - DoSM | 

Bintulu Port Dapat Lanjutan Operasi 12 Bulan Menerusi Perjanjian Interim Ketiga

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB), anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings Bhd, telah memeterai perjanjian interim (IA) ketiga dengan Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) bagi lanjutan operasi selama 12 bulan di Pelabuhan Bintulu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Bintulu Port berkata lanjutan itu meliputi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 atau sehingga Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu menjadi suatu Akta Pelabuhan Persekutuan (Pembubaran) 2024 dan Akta Lembaga Pelabuhan (Pembubaran) Bintulu 2024 yang berkuat kuasa atau mana lebih awal.

Sebelum ini, BPSB telah memeterai IA awal dengan kerajaan dan BPA bagi meneruskan operasi Pelabuhan Bintulu di bawah tempoh interim (IP) selama enam bulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023.

Ini seterusnya diikuti oleh IA kedua dengan lanjutan IP selama 12 bulan dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2024 dan lanjutan enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2024, katanya.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memindahkan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri Sarawak dan menukar statusnya kepada pelabuhan negeri menerusi pemeteraian memorandum persefahaman pada 22 Mac 2024 bagi memudah cara peralihan itu.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan telah membentangkan perundangan berkaitan di Parlimen dan kedua-dua Rang Undang-Undang Pelabuhan Persekutuan (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 telah diluluskan.

“Pada masa ini, kerajaan negeri, BPA dan BPSB sedang memuktamadkan Perjanjian Operasi Pelabuhan bagi pelantikan BPSB sebagai pengendali apabila Pelabuhan Bintulu menjadi pelabuhan negeri yang dikawal selia oleh Sarawak," katanya.

-- BERNAMA