BERITA TERKINI   Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | 

Wan Mohd Fadzmi Tamat Tempoh Perkhidmatan Sebagai Pengerusi Labuan FSA

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 3 Jan (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) hari ini mengumumkan Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah telah menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Labuan FSA pada 31 Dis, 2024.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Labuan FSA menjelaskan pelantikan pengerusi baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat, selepas diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).

Wan Mohd Fadzmi berkhidmat sebagai Pengerusi Labuan FSA sejak 1 Jan, 2024, selepas dilantik oleh MOF.

“Pengurusan Labuan FSA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wan Mohd Fadzmi atas kepimpinan beliau yang dapat menjadi contoh di samping sumbangan yang tidak ternilai sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Usaha beliau telah memberikan asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan kejayaan berterusan Labuan FSA,” tambahnya.

Labuan FSA memaklumkan lembaga pengarahnya yakin Labuan FSA akan memperoleh pencapaian baharu di bawah kepimpinan akan datang.

Labuan FSA ialah badan berkanun yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pentadbiran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

-- BERNAMA