BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan TRW FC 0-1 Kuching City FC | PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Pasaran getah tempatan terus ditutup rendah pada Jumaat, seiring dengan aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan data aktiviti perkilangan global yang tidak memberangsangkan menandakan prospek ekonomi yang tidak menentu, kata seorang peniaga.

Beliau berkata pemain pasaran juga dilihat bertindak balas terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) berdasarkan data ekonomi terkini.

“Namun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah penanda aras dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS, di tengah-tengah gangguan bekalan akibat keadaan cuaca buruk di negara pengeluar getah asli utama,” katanya kepada Bernama.

Sentimen pasaran turut dipacu oleh keyakinan mengenai rangsangan tambahan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kata peniaga itu.

Beliau berkata aktiviti kilang di Asia, Eropah dan AS pada penghujung 2024 perlahan kerana risiko perdagangan berikutan pentadbiran kedua Presiden Trump dan pemulihan ekonomi China yang perlahan melemahkan jangkaan untuk tahun baharu.

“Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) AS melaporkan sedikit penguncupan pada 49.4, mencerminkan penurunan kecil dalam sektor itu,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 12.5 sen kepada 867 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot lima sen kepada 689 sen sekilogram.

-- BERNAMA