BERITA TERKINI   Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, berikutan kebimbangan terhadap eksport yang menurun terus memberi tekanan kepada harga, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Bagaimanapun, penurunan itu dihadkan oleh jangkaan pengeluaran yang rendah pada minggu-minggu akan datang yang memberi kesan positif pada harga, katanya.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM4,280 dan paras rintangan pada RM4,400 satu tan," kata Ng kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2025 susut RM33 kepada RM4,690 satu tan, Februari 2025 turun RM28 kepada RM4,483 satu tan, dan Mac 2025 merosot RM30 kepada RM4,338 satu tan.

Sementara itu, kontrak April 2025 berkurangan RM14 kepada RM4,233 satu tan, Mei 2025 susut RM2 kepada RM4,159 satu tan, dan June 2025 turun RM1 kepada RM4,111 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 84,275 lot daripada 87,677 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 233,493 kontrak daripada 233,618 kontrak pada Jumaat lepas.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan merosot RM70 kepada RM4,730 satu tan.

-- BERNAMA