BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

JS-SEZ Mampu Jadi Hab Strategik Dengan Ketersambungan Global -- MIDF Research

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd berpendapat bahawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi hab strategik berdasarkan sambungannya ke pelabuhan Johor dan Singapura, yang menyediakan ketersambungan serantau serta global.

Cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata produk yang dikeluarkan di JS-SEZ boleh dieksport melalui kedua-dua pelabuhan.

“Pelabuhan Singapura menghubungkan lebih daripada 600 pelabuhan di 130 negara, menjadikannya sebagai salah satu daripada pelabuhan perkapalan global yang paling berkaitan.

“Selain itu, pelabuhan tersebut secara konsisten menduduki tempat teratas di dunia untuk pemprosesan kontena, antara lain,” katanya dalam satu nota hari ini,

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong hari ini menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ di samping enam memorandum persefahaman dan satu surat niat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini berkata JS-SEZ akan meliputi seluruh kawasan Iskandar Malaysia termasuk kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang dengan keseluruhannya, berkeluasan 3,505 kilometer persegi.

JS-SEZ merangkumi kawasan di bawah enam pihak berkuasa tempatan di Johor iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan sebahagian daripada Majlis Perbandaran Pontian.

MIDF Research berkata Pelabuhan Johor dihubungkan dengan baik melalui jalan raya serta kereta api ke seluruh Malaysia dan Singapura, memudahkan pergerakan barangan dan bahan.

“Peningkatan pengeluaran di kawasan-kawasan ini termasuk kekuatan perhubungan akan mengukuhkan lagi aktiviti eksport Malaysia,” katanya.

Selain itu, ia berkata JS-SEZ akan menawarkan pelabur “pilihan terbaik dari kedua-dua negara” dengan akses kepada kecanggihan Singapura serta kelebihan kos dan sumber yang ditawarkan Johor.

Johor menyediakan kelebihan dalam hartanah dan kos buruh yang mana, banyak perusahaan dijangka tertarik memandangkan lokasi serta ketersambungannya.

-- BERNAMA