BERITA TERKINI   Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | Agong titah rakyat berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dan kecurian identiti | 

Ringgit Mendatar Berbanding Dolar AS Ketika Dibuka

Oleh Karina Imran & Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Ringgit kekal tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun lebih tinggi berbanding mata wang utama lain ketika dibuka pada Rabu susulan permintaan meningkat terhadap dolar apabila data utama ekonomi AS dikeluarkan semalam, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit kekal mendatar pada paras 4.4850/4.4900 berbanding dolar AS sejak ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) kembali memperoleh momentum selepas “Job Openings and Labour Turnover Survey” (JOLTS) melaporkan lebih banyak pekerjaan tersedia pada November tahun lepas.

Beliau berkata selain itu sentimen perniagaan dalam sektor perkhidmatan bertambah positif pada Disember 2024 dengan Indeks ISM bagi sektor bukan pembuatan meningkat kepada 54.1 mata daripada 52.1 mata pada bulan sebelumnya.

“Jadi, ini bermakna dolar AS akan kekal positif memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin tidak tergesa-gesa untuk menurunkan lagi kadar faedah. Ini juga bermakna mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit dijangka lebih lemah berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berpendapat kenaikan Indeks ISM yang tidak dijangka itu telah membawa penjualan bon Perbendaharaan AS, mendorong hasil menjadi lebih tinggi dan memberi tekanan negatif ke atas pasaran ekuiti.

Hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun dan 10 tahun meningkat sebanyak 2.0 dan 5.0 mata asas untuk masing-masing ditutup pada paras 4.30 peratus dan 4.67 peratus.

“Data ini secara efektif telah meredakan sebarang jangkaan baki penurunan kadar Fed yang akan berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding yen Jepun pada 2.8348/8384 daripada 2.8458/8492 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6384/6436 daripada 4.6756/6808.

Unit tempatan juga lebih stabil berbanding pound British kepada 5.5955/6017 daripada 5.6341/6403 semalam.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9684/9911 daripada 13.0045/0258, dan sedikit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2864/2906 daripada 3.2983/3022 ketika ditutup pada Selasa.

Mata wang domestik kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia dan peso Filipina, masing-masing pada paras 277.7/278.2 dan 7.71/7.72.

-- BERNAMA