BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

JS-SEZ, Contoh Utama Daya Tahan Rantaian Bekalan ASEAN - Liew

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh dijadikan sebagai contoh untuk mempromosikan daya tahan rantaian bekalan ASEAN bagi menarik pelaburan langsung asing, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata cetusan idea penubuhan JS-SEZ adalah untuk memastikan Malaysia dan Singapura mempunyai rantaian bekalan yang berdaya tahan dan dapat bekerjasama dengan pelbagai pemimpin politik dan kuasa besar.

“Kami mahu mengekalkannya dan mengukuhkan rantaian bekalan.

“Kami ingin menyatakan mengapa kami ingin anda melabur di Malaysia atau ASEAN, bukan kerana kami mempunyai buruh yang murah tetapi kerana kami mempunyai rantaian bekalan yang kukuh,” katanya kepada pemberita di luar persidangan ASEAN Economic Opinion Leaders Conference: Outlook for 2025, di sini, hari ini.  

JS-SEZ yang dimodelkan mengikut Zon Ekonomi Khas Shenzhen China, menyediakan pelepasan cukai dan membantu memudahkan transit barang dan pergerakan orang ramai antara Johor dan Singapura, yang dipisahkan oleh tambak sepanjang satu kilometer.

Zon ekonomi baharu itu dijangka mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir kepada rakyat kedua-dua negara.  

Pada Selasa, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, menyaksikan pemeteraian perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya.

-- BERNAMA