BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Ringgit Dibuka Tidak Berubah Berbanding Dolar US

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar US dalam dagangan awal hari ini dalam persekitaran peningkatan permintaan terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) berikutan pengumuman minit Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan ialah pada 4.5000/5100 berbanding dolar US daripada 4.5000/5050 ketika ditutup semalam.

Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat kepada 108.994 mata, lebih tinggi sebanyak 0.42 peratus berbanding penutupan sebelumnya.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata minit yang dikeluarkan semalam menunjukkan bahawa Fed AS telah memberi gambaran mengenai potensi perubahan dalam dasar perdagangan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang akan datang.

Beliau berkata Fed AS sedang menilai bagaimana jangkaan peralihan dasar seperti perubahan kepada perjanjian perdagangan atau pengenaan tarif, mungkin menjejaskan ekonomi.

“Penilaian Fed AS seharusnya menjadi pertimbangan penting untuk pentadbiran Trump 2.0 (penggal kedua Trump menjadi Presiden AS) terutamanya jika ia merancang untuk melaksanakan tarif perdagangan yang lebih tinggi.

"Walaupun objektif Fed AS dan pentadbiran mungkin berbeza, tarif yang dinaikkan mungkin memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Sedek menjangkakan Fed AS akan melaksanakan hanya akan melakukan penurunan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini dan menjangkakan ringgit akan kekal dalam tekanan dan didagangkan lemah berbanding dolar US dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dalam mesyuarat pada Disember tahun lepas menunjukkan bahawa ahli-ahlinya berkecuali dan cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

"Nampaknya perjalanan penurunan kadar faedah tahun ini berkemungkinan akan berlakus secara beransur-ansur. Tuntutan pengangguran awal (IJC) datang lebih rendah daripada jangkaan kepada 201,000 minggu lepas berbanding anggaran konsensus 214,000.

Mohd Afzanizam berkata faktor-faktor ini nampaknya positif kepada dolar US, justeru ringgit dijangka kekal lemah berbanding dolar US dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.5616/5739 daripada 5.6020/6083 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6413/6516 daripada 4.6431/6483 bagaimanapun ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8452/8517 daripada 2.8449/8482 ketika ditutup pada Rabu.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan dengan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9863/13.0260 daripada 12.9949/13.0168 sebelumnya dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2892/2968 daripada 3.2919/2958. 

Ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 277.5/278.3 daripada 277.5/278.0 dan peso Filipina pada 7.70/7.73 daripada 7.70/7.72 ketika ditutup pada Rabu. 

-- BERNAMA