BERITA TERKINI   Letusan Gunung Dukono: Tiada rakyat Malaysia dilapor terlibat - Kedutaan Malaysia di Jakarta | Enam perubahan penempatan, pelantikan baharu babit pengurusan tertinggi perkhidmatan awam berkuat kuasa 11 Mei - KSN | Kerajaan pastikan bekalan minyak dan diesel lebih teratur lepas langkah proaktif bersama Petronas - PM Anwar | Operasi pembenihan awan akan dijalankan di Kedah dan Perlis pada 10-12 Mei serta 17-19 Mei - Arthur | 20 pendaki terkandas susulan letusan Gunung Dukono di Indonesia, operasi pemindahan sedang dijalankan - Basarnas | 

Rafizi Jangka Cip, GPU Buatan Malaysia Dapat Direalisasikan Dalam Tempoh Sehingga 10 Tahun

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Malaysia dijangka dapat membangunkan cip dan unit pemprosesan grafik (GPU) ‘Buatan Malaysia’ dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika memberikan gambaran tersebut berkata negara boleh merealisasikan industri itu dengan memanfaatkan sektor hiliran dan tidak hanya bergantung kepada pembuatan semikonduktor di peringkat pemasangan dan pengujian.

“Jadi, kita bukan sahaja mewujudkan sektor ekonomi bernilai tinggi yang memenuhi permintaan, malah kita juga boleh menjadi peserta global kerana negara-negara lain turut memerlukan pusat data.

“Itulah visi jangka masa panjang kerajaan mengenai keseluruhan sumbangan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data kepada ekonomi kita,” katanya semasa sesi bual bicara santai bertajuk "From ‘Made in Malaysia' to 'Made by Malaysia” di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di sini, Khamis.

Rafizi berkata Malaysia dijangka menjadi kuasa besar pusat data global dan mahu menyokongnya melalui tenaga boleh baharu.

Beliau berkata Malaysia sedang memuktamadkan pusingan bidaan solar berskala besar kelima (LSS5) dan dijangka disusuli dengan LSS6.

“Kita seharusnya berupaya membolehkan kapasiti tenaga boleh baharu berkembang dengan lebih cepat daripada yang pernah kita lihat sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA