BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Rasionalisasi Subsidi Diesel Beri Penjimatan Hingga RM7.5 Bilion Setahun -- Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel dijangka memberikan penjimatan tahunan antara RM7.2 bilion dan RM7.5 bilion kepada kerajaan, meningkat daripada RM4 bilion yang diunjurkan tahun lepas, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata ini adalah hasil daripada kejayaan pelancaran rasionalisasi subsidi diesel yang menyaksikan penjimatan sehingga RM600 juta sebulan direkodkan selepas pelaksanaannya.

“Apabila kerajaan melancarkan (rasionalisasi subsidi diesel) pada Julai 2024, kita menjangka memperoleh penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun.

“Ketika ini kita kesan kira-kira RM600 juta sebulan, jadi itu sepatutnya memberi kita penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun.

“Kita dapat melakukannya lebih baik kerana ketirisan (diesel) adalah lebih daripada apa yang kita sangka, dan itu hanya di Semenanjung Malaysia pada ketika ini,” katanya semasa sesi panel pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata perkara asas yang perlu dipertimbangkan semasa melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel adalah apa yang merupakan perkara utama yang perlu diuruskan oleh kerajaan.

“Kita tahu bahawa daripada ketirisan itu, kita akan memasuki dua segmen utama -- pertama, daripada sektor runcit hingga sektor komersial. Kedua, kita juga mengalami ketirisan besar yang melibatkan pergerakan merentas sempadan.

“Kita dapat melancarkannya kerana kita melaksanakan sistem yang sebenarnya mengurangkan risiko dari segi ketirisan, Kita capai hasil yang lebih baik kerana kita dapat mengurangkan ketirisan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang mengusahakan mekanisme untuk merasionalisasikan subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

“Kita akan melancarkan rasionalisasi subsidi RON95 menggunakan prinsip yang sama (seperti rasionalisasi diesel) dengan harga dua peringkat, dengan sasaran melindungi 85 peratus daripada penduduk agar mereka tidak terkesan dengannya

“Pertama adalah ambang (pendapatan) manakala kedua adalah metodologi, seperti apa yang kita laksanakan dalam (rasionalisasi) diesel, yang akan membolehkan kita menguruskannya dengan berkesan.

"Saya fikir dalam tempoh beberapa bulan akan datang, anda akan dapat melihat perkara itu dengan lebih jelas," katanya.

-- BERNAMA