BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Permintaan Kargo Udara, Penumpang Global Naik Lebih Lapan Peratus Pada November 2024 -- IATA

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pasaran kargo udara global menyaksikan pertumbuhan permintaan yang kukuh pada November 2024 dengan jumlah kargo tan bagi setiap kilometer meningkat sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ini menandakan pertumbuhan bulan ke-16 berturut-turut, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut IATA, kapasiti, diukur dalam kargo yang tersedia tan bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 4.6 peratus berbanding November 2023.

Sementara itu, Ketua Pengarahnya, Willie Walsh berkata setelah mempertimbangkan semua faktor, prestasi kargo udara dijangka menutup tahun 2024 dengan catatan menguntungkan.

"Walaupun prestasi kukuh ini sangat berkemungkinan berterusan sehingga 2025, terdapat beberapa risiko negatif yang perlu dipantau dengan teliti. Ini termasuk inflasi, ketidakpastian geopolitik dan ketegangan perdagangan," beliau memberi amaran.

Dalam pada itu, IATA berkata jumlah permintaan penumpang global, diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 8.1 peratus pada November 2024 berbanding bulan yang sama pada 2023.

Katanya, jumlah kapasiti, diukur dalam tempat duduk yang tersedia bagi setiap kilometer, meningkat sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun manakala faktor beban pada November sebanyak 83.4 peratus, meningkat 1.9 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.

Menurut IATA permintaan antarabangsa meningkat sebanyak 11.6 peratus berbanding November 2023 serta kapasiti meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun dan faktor beban meningkat 2.3 mata peratusan kepada 83.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Sementara itu, permintaan domestik meningkat sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun. Kapasiti meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun dan faktor beban 1.2 mata peratusan lebih tinggi pada 83.5 peratus berbanding November 2023, kata IATA.

-- BERNAMA