BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

KDNK 2025 Malaysia Dijangka Kekal Stabil Pada 5 Peratus - CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal stabil pada kadar lima peratus pada 2025, selaras dengan sasaran kerajaan antara 4.5 dan 5.5 peratus, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Katanya unjuran itu berdasarkan permintaan luaran yang pulih secara berterusan disokong oleh kitaran teknologi global yang meningkat selain perbelanjaan domestik yang kukuh didorong oleh pelaburan yang baik dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan.

“Bagaimanapun, risiko meningkat. Potensi ketegangan perdagangan meningkat dijangka menaikkan tekanan inflasi global, yang boleh menyebabkan bank-bank pusat global mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap penurunan kadar faedah, berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2024 sebanyak 5.2 peratus dalam unjuran kerajaan yang disemak semula antara 4.8 dan 5.3 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut CIMB Securities, pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia yang naik kepada 3.6 peratus tahun ke tahun pada November (Okt 24: +2.0 peratus), sejajar dengan jangkaan pasaran. 

Katanya pertumbuhan meningkat didorong oleh pengeluaran pembuatan dan penjanaan elektrik yang kukuh, di samping penurunan dalam pengeluaran perlombongan.

“Walaupun terdapat cabaran dalam sektor pembuatan, sektor perkhidmatan yang mencatatkan prestasi kukuh dapat membantu mengimbangi kelemahan ini,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijangka mengeluarkan anggaran KDNK suku keempat 2024 Jumaat ini.

-- BERNAMA