BERITA TERKINI   CBH Engineering raih kontrak mereka dan membina sistem bekalan elektrik untuk pencawang pengguna cadangan pusat data di Selangor, bernilai RM171.99 juta | Sistem Alamat Nasional mampu jana limpahan ekonomi RM2 billion, wujud lebih 2,000 pekerjaan dalam lima tahun - Fahmi Fadzil | Bangkai helikopter milik PDRM yang yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah Khamis lepas, berjaya dinaikkan sekitar jam 11 pagi ini. | iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

CPTPP Jamin Akses Bebas Tarif Ke Pasaran UK Bagi Minyak Sawit, Produk Malaysia

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 14 Jan (Bernama) – Produk Malaysia khususnya minyak sawit dijangka mendapat manfaat daripada akses bebas tarif di United Kingdom (UK) di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar berkata ini susulan penyertaan secara rasmi UK dalam CPTPP pada Disember 2024.

“Di bawah rangka kerja ini, tarif bagi produk-produk oleh kalangan negara anggota akan dikurangkan kepada sifar.

“Ini bermakna lebih mudah bagi minyak sawit Malaysia untuk memasuki UK," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, pada Selasa.

Zakri berkata demikian ketika ditanya sama ada isu berkaitan tarif minyak sawit menjadi antara agenda dalam lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lima hari ke UK bermula pada Rabu (esok).

Delegasi Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan turut disertai oleh tiga menteri, termasuk Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Malaysia telah bertindak meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024 dan menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam dalam usaha itu. 

Mengikut laporan di sini, lebih daripada 99 peratus eksport semasa barangan UK ke negara-negara anggota CPTPP akan bebas tarif sejurus perjanjian itu dikuatkuasakan.

Selain itu, pihak Timber Development UK menerusi Nota Dagangannya mengenai CPTPP berkata produk-produk papan lapis dari Malaysia dan lainnya yang telah meratifikasi perjanjian itu adalah bebas cukai berkuat kuasa dari tahun pertama perjanjian CPTPP berbanding duti pada kadar enam peratus hingga 10 peratus.

CPTPP merupakan blok dagangan merangkumi 11 negara dan UK.

Sebanyak 11 negara anggota asal CPTPP adalah Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura serta Vietnam.

Ditanya sama ada Malaysia akan turut membincangkan perjanjian perdagangan bebas di masa depan dengan UK, Zakri berkata tiada keperluan sedemikian memandangkan CPTPP turut meliputi perjanjian sama.

“Di bawah CPTPP, kesemua negara anggota, termasuk UK dan Malaysia akan menikmati elemen perjanjian perdagangan bebas yang sama,” katanya.

-- BERNAMA