BERITA TERKINI   GSF 2.0: Wisma Putra gerakkan usaha diplomasi antara negara untuk bebaskan aktivis rakyat Malaysia - KP SNCC | SNCC sedang teliti satu maklumat bahawa semua aktivis GSF 2.0 akan dibebaskan hari ini - KP SNCC | GSF 2.0: SNCC belum terima pengesahan status keselamatan 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel - KP SNCC | Kemelut Negeri Sembilan: Jangan sampai gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat - PM Anwar | Kerajaan hubungi negara Teluk dan Arab untuk cari jalan lepaskan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel - PM Anwar | 

Labuan Berpotensi Jadi Hab Utama Industri Tuna Global

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 14 Jan (Bernama) -- Industri tuna yang telah lama bertapak di pulau bebas cukai, Labuan berpotensi untuk terus berkembang sekali gus menawarkan manfaat besar kepada ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata hasil daripada rangkaian perniagaan antarabangsanya, Labuan kini berpotensi untuk muncul sebagai hab utama global bagi industri tuna.

“Hari ini, saya melawat Labuan Food Industries yang terbabit dalam sektor tuna dan saya bangga apabila mengetahui industri ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan ke syarikat tersebut di Patau-Patau, di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata Labuan Food Industries adalah pemain utama dalam bidang perikanan komersial, pembuatan, pengeksportan dan perdagangan makanan laut sejuk beku khususnya tuna, sejak 35 tahun lepas.

“Labuan Food Industries tampil sebagai pengeksport utama tuna ke pasaran utama, termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Oceania.

“Syarikat ini menyediakan teknologi pemprosesan terkini, seperti sistem pembekuan pada suhu serendah  -60°C, bagi memastikan produk tuna mereka berada pada kualiti terbaik,” katanya.

Dr Zaliha berkata industri tuna global kini bernilai kira-kira US$42 bilion (US$1=RM4.49) dan dijangka meningkat kepada US$54 bilion pada 2032.

“Lokasi Labuan yang strategik menyediakan peluang unik bagi pulau itu untuk memainkan peranan utama dalam industri ini yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata Labuan berpotensi besar untuk berubah menjadi hab pemprosesan tuna bertaraf dunia, menjana nilai ekonomi yang besar kepada komuniti tempatan.

“Industri tuna menawarkan peluang keemasan untuk menjana pertumbuhan ekonomi di Labuan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai pusat pemprosesan tuna utama global.

“Sokongan berterusan terhadap industri ini amat penting bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Dr Zaliha berkata dengan sokongan padu dan ekosistem kukuh, Labuan berada di kedudukan baik untuk meneraju industri tuna global, yang sekali gus mengukuhkan kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa.

--BERNAMA