BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

MPIC Beri Tumpuan Kepada Penjenteraan, Automasi Untuk Atasi Kekurangan Tenaga Kerja

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada penjenteraan dan automasi bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja untuk industri minyak sawit.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata industri itu perlu mempunyai tempoh peralihan dalam mengatasi isu berkenaan kerana kerajaan tidak mahu bergantung kepada pekerja asing.

"Bagi tempoh jangka panjang, kita harus menyasarkan lebih banyak penjenteraan dan automasi.

"Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan juga menyediakan insentif untuk menggalakkan penggiat industri menggunakan lebih banyak mekanisasi dan automasi, jadi itulah rancangan masa depan," katanya pada sidang media, hari ini.

Chan juga berkata keperluan untuk pengecualian terhadap kuota pekerja asing, bergantung kepada keperluan dan maklum balas industri.

"Pengecualian sekali sahaja untuk kuota tersebut diberikan untuk kira-kira 60,000 pekerja tahun lepas bagaimanapun untuk tahun ini ia bergantung kepada maklum balas industri sama ada ia sangat diperlukan atau tidak," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kelewatan mandat biodiesel B40 Indonesia, beliau berkata Malaysia tidak mempunyai keperluan mendesak untuk menggunakan lebih banyak minyak sawit untuk biodiesel kerana Malaysia lebih menumpukan perhatian kepada pengeksportan komoditi itu.

"Walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai perbezaan masing-masing dalam sektor ini, Malaysia amat bergantung pada aktiviti eksport.

"Menyaksikan peningkatan eksport tahun lepas, saya berpendapat tiada keperluan mendesak untuk menggunakan lebih banyak minyak sawit sebagai sebahagian daripada biodiesel," katanya.

-- BERNAMA