BERITA TERKINI   Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | 

Segmen Kenderaan Komersil Ringan Dijangka Meningkat Menjelang 2030

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

SEMENYIH, 15 Jan (Bernama) -- Segmen kenderaan komersil ringan (LCV) Malaysia termasuk trak pikap, dijangka naik sekitar empat peratus setiap tahun menjelang 2030, kata anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zameer Zahur Hussain berkata PLMM menjangkakan peningkatan dalam segmen itu dipacu oleh pengembangan e-dagang dan trend gaya hidup yang berkembang, melibatkan usahawan kecil dan sederhana (PKS) dan bekeluarga.

Peningkatan dalam sektor e-dagang adalah selaras dengan keperluan pelanggan yang mahu produk dipesan secara dalam talian dihantar dengan pantas ke rumah mereka.

“Jika anda menggunakan kenderaan besar seperti lori, anda perlu menunggu satu lori untuk menyelesaikan proses memunggah bungkusan untuk melakukan penghantaran, justeru ia memakan masa.

"Memandangkan e-dagang terus berkembang, pelanggan mahu proses penghantaran menjadi lebih cekap. Oleh itu, jenis kenderaan lebih kecil ini akan menjadi pilihan utama apabila PKS menjalankan perniagaan mereka," katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran pelbagai produk minyak enjin Petronas Urania LCV, di sini hari ini.

Zameer Zahur berkata LCV bersaiz lebih kecil dan sesuai untuk menghantar produk ke destinasi yang sukar dilalui.

Terdapat peningkatan dalam sektor LCV kerana golongan bekeluarga menggunakan kenderaan jenis ini untuk bercuti pada hari bekerja.

Petronas Lubricants International melancarkan rangkaian minyak enjin Petronas Urania LCV untuk memenuhi permintaan pasaran LCV tempatan dengan menawarkan ketahanan lebih baik, pengekalan kelikatan dan prestasi enjin keseluruhan.

Rangkaian minyak enjin baharu terdiri daripada PETRONAS Urania 5000 LCV LA 5W-30, PETRONAS Urania 3000 LCV LA 10W-40 dan PETRONAS Urania 3000 LCV 15W-40, kesemuanya memenuhi pelbagai keperluan pasaran LCV.

Produk itu bertujuan mengurangkan kos penyelenggaraan sebanyak 10 hingga 15 peratus, selang tempoh saluran minyak dilanjutkan dan prestasi unggul walaupun dalam keadaan pemanduan lasak termasuk operasi harian, pengembaraan ‘off-road’ dan pengurusan kenderaan.

“Dengan peningkatan kos, persaingan antara PKS adalah sengit, jadi anda memerlukan operasi yang kos efektif.

“Justeru, minyak enjin kami hasilkan direka untuk membantu mereka mengurangkan kos operasi dengan meningkatkan kecekapan enjin,” katanya.

Mengulas mengenai pengembangan pasaran produk, Zameer Zahur berkata syarikat itu merancang untuk meneroka pasaran ASEAN termasuk Thailand dan Indonesia, sebelum berkembang lebih jauh ke rantau Asia Pasifik.

"Kami akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menilai prestasi pasaran di Malaysia, kemudian kami akan merancang untuk pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA