BERITA TERKINI   Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | 

Malaysia, UK Bincang Tingkat Hubungan Kepada Perkongsian Strategik

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 15 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu rakan sejawatannya dari United Kingdom (UK), Sir Keir Starmer, dan membincangkan tentang usaha untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara kepada perkongsian strategik meliputi semua bidang.

"Sudah tentunya tumpuan dan asas terhadap ekonomi, malah juga pertahanan dan pendidikan," katanya kepada pemberita selepas bertemu Starmer di No. 10, Downing Street pada Rabu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata jemaah menteri Malaysia dan rakan sejawatan mereka akan segera menubuhkan pasukan untuk menjalin kerjasama, terutamanya dalam konteks bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga ASEAN.

Ketika ini Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Menurut para pegawai Malaysia, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam bidang tenaga hijau, Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan.

"Ini merupakan lawatan ke negara Eropah pertama selaku Pengerusi ASEAN, saya menggunakan kesempatan yang ada bagi menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerima lebih ramai pelabur sekali gus membentuk sinergi ekonomi baharu,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata semasa pertemuan itu beliau turut mempelawa Starmer melawat Malaysia. 

Pada Isnin, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Zakri Jaafar berkata produk Malaysia, khususnya minyak sawit, dijangka mendapat manfaat daripada akses bebas tarif di UK di bawah perjanjian perdagangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata ini dapat direalisasikan kerana UK secara rasmi menyertai CPTPP pada Disember tahun lepas.

Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam yang turut berbuat demikian.

Menurut laporan di sini, lebih daripada 99 peratus eksport barangan UK ke negara anggota CPTPP akan dikecualikan tarif sebaik perjanjian tersebut berkuat kuasa.

UK adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia di Eropah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) dalam tempoh 11 bulan pertama 2024.

-- BERNAMA