BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Bursa Malaysia Luluskan Pelan Penyusunan Semula Bintai Kinden

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd meluluskan cadangan pelan penyusunan semula Bintai Kinden Corporation Bhd (BKCB) sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha syarikat itu ke arah pemulihan kewangan dan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Dalam kenyataan pada Khamis, syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu menjelaskan pelan tersebut merangkumi terbitan 244.0 juta saham baharu melalui tawaran persendirian, terbitan sehingga 146.4 juta saham melalui pelaksanaan opsyen di bawah pemberian skim opsyen serta saham tambahan berjumlah 15 peratus daripada saham terbitan syarikat melalui Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS).

“Langkah-langkah ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat dengan meningkatkan modal baharu, memberikan insentif kepada bakat penting dan menyelaraskan syarikat dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Securities,” tambahnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BKCB Datuk Tay Chor Han berkata beliau gembira dengan cadangan pelan penyusunan semula itu.

“Pelan ini mengukuhkan lembaran imbangan kami, meningkatkan nilai pemegang saham dan menyediakan asas untuk kestabilan jangka masa panjang.

“Kami kekal komited untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Bursa Securities dan memastikan pelaksanaan pelan itu berjaya, dengan matlamat utama untuk keluar daripada status PN17,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut kenyataan itu, cadangan pelan tersebut mewakili hala tuju strategik yang lebih luas untuk BKCB, membolehkan syarikat menstabilkan asas kewangan, mengekalkan dan memotivasikan pegawai utama melalui ESOS, dan memenuhi keperluan tebaran pegangan saham awam dengan mematuhi garis panduan Bursa Securities.

Semua langkah itu dijangka meletakkan BKCB sebagai peserta yang lebih kukuh dan berdaya tahan dalam pasaran di samping mencipta nilai yang mampan untuk pemegang kepentingannya, tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA